Saturday, September 25, 2010

seindah hiasan...idaman mujahid..


Indahnya kalammu wanita solehah yang berjuang disisi mujahid soleh....
Seindah-indah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah...”

Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.
”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”

Wanita solehah idaman mujahid soleh yang malunya menjadi perisai dirinya, yang zikirnya menjadi penawar dirinya; tak gentar di acah mehnah duniawi kerana dia rindukan wangian syurgawi, dia berpegang pada janji yang terpatri di lubuk hati. Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini.

Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh mama dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan, hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ...
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa a.s, sama seperti mu.
”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran : 159-160)

Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan

kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung. Pendirianku...pernikahanku akan ku jadikan medan pencarian ilmu agama sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini. Aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, suamiku dan anak-anak untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul,
" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya."
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan.
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
(An Nisaa’ : 1) "

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".
(An-Nissa':34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia. Aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku. Jadikanlah suatu pernikahan itu sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah.

Aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, dan hadis-hadis Nabawi kerana aku meyakini bahawa Qalam itu mampu memimpin rumahtanggaku dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Jua tidak ternilai harga maruah diriku untuk dibanding dengan nilai wang ringgit atau nilai duniawi. Selaras jua dengan hadis Nabi, aku mahu jadi wanita yang punya barokah.
“Seorang wanita yang penuh barakah dan mendapat anugerah Allah adalah yang maharnya murah, mudah menikahinya, dan akhlaknya baik. Sebaliknya, wanita yang celaka adalah yang mahal maharnya, sulit menikahinya, dan buruk akhlaknya”

Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.


.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu.::.

Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.

Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.

Mampukah aku menjadi wanita solehah???


mampukah aku menjadi spt SITI KHADIJAH? agung cintanya kpd Allah n RRasulullah,hartanya diperjuangkan ke jalan Fisabilillah penawar hati kekasih Allah,susah n senag rela bersama...
dapatkah kudidik jiwa spt AISHAH HUMAIRA? isteri Rasulullah yg bijak pendorong kesusahan n pnderitaan tiada sukar unk dilaksanakan...
mengalir air mataku melihat pgorbanan puteri solehah SITI FATIMAH, akur dalam setiap perintah, taat dengan abunya yang sentiasa berjuang..layaklah dye sebagai wanita peghulu syurga, tapi AKU...KITE SEMUA..BAGAIMANA??
ketika ku marah inginku intip serpihan sabar dari catatan idup SITI SARAH,tabah jiwanya,setabah UMI Nabi Ismail mngendong bayinya yg masih merah mencari air penghilang dahaga, di terik padang pasir merak ditinggalkan suami akur tanpa bantahan..mengharapkan hanya pada Allah itulah wanita SITI HAJAR...mampukah aku menjadi wanita solehah? mati dalam keunggulan iman bersinar indah..harum tersebar bagai wanginya pusara masyitah....renungkan bersama...

Wednesday, September 1, 2010

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?


Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: "Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:



Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu

Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu

Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu

Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik

Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu

Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya

Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya

Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu

Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu

Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu

Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu

Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat. Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.



Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:



sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan 'melepak' pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Sunday, August 29, 2010

muhasabah diri





Bila kita memulakan sesuatu...

Kadang-kadang kita lupa letakkan niat

Kadang-kadang kita lupa baca Bismillah

Sebab tu bila ada masalah,

Kita cepat menyerah...



Bila kita berniat...

Kadang-kadang kita lupa letakkan usaha,

Kadang-kadang kita tunggu disergah baru hendak mengolah,

Sebab tu bila kerja tak menjadi,

Kita mula angkat kaki...



Bila kita berusaha...

Kadang-kadang lupa pula hendak berdoa,

Siang malam kerah tenaga dan masa...

Sebab tu bila kerja masih tak sempurna,

Kita mudah putus asa...



Bila kita berniat, berusaha dan berdoa...

Kadang-kadang kita lupa pula untuk bertawakkal pada Yang Esa.

Bertawakal pun pada bicara tapi di hati masih buta.

Sebab tu bila dilanda masalah,

Kita marah tak tentu hala...



Bila kita berniat, berusaha, berdoa dan bertawakal...

Kadang-kadang kita tetap alpa,

Nak sebut Alhamdulillah pun payah,

Berdoa pun sekali sekala,

Bersyukur sekejap cuma..



Sebab tu bila kita berjaya,

Allah datangkan ujian dan musibah...

Supaya kita ingat dan kembali ke jalan redha,

Tetapi kita kecewa sampai mencari jalan mudah..

Membenci diri memusuhi nadi.



Sedangkan...

Kita manusia ciptaan Allah,

Bernafas di udara yang sama,

Bila lemah Allah itu ada,

Bila derita Allah itu bersama,

Senang, susah, sedih, gembira...

Allah takkan lupa pada langkah kita.



Tapi sememangnya lahiriah kita,

Kadang-kadang lebih suka dipuji,

Sebab itu kita jarang memuji Yang Maha Terpuji,

Kadang-kadang lebih suka dicintai,

Sebab itu kita lupa menyintai Yang Maha Menyintai,

Kadang-kadang kita lebih suka menyendiri,

Tapi lupa Allah sedang memerhati...



Sebab itu teruskanlah bermuhasabah pada pencipta,

Kerana dalam firman Allah;

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra'd:11)"


Kerana itu..

Pada masalah harus bersabar dan redha

Pada ujian harus tabah dan teguh

Pada kegagalan harus usaha, doa dan tawakkal

Pada kejayaan harus usaha, doa dan tawakkal..



Sama tetapi tidak serupa,

Kerana kejayaan di dunia bukan pengukur kejayaan di sana

Kekayaan harta di dunia bukan jaminan kebahagiaan di sana

Kesusahan dan penderitaan di dunia belum tentu bersambung di sana

Kealpaan kita di dunia pasti menjadi kesakitan kita di sana...



Di sana itulah yang perlu kita kejar,

Agar dunia mengikuti dengan redha...



Di sana,

Akhirat yang pasti...

Syurga yang terindah,

Atau

Neraka yang menyala!

jika aku jatuh cinta


CINTA..
Andai saja kau bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat meRINDUimu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu betapa aku takut keHILANGanmu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!

Cinta..
Jatuhnya aku pada kekuatan cinta tanpa melihatmu..
Butanya aku pada dugaan yang menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini yang ku damba!

Cinta..
Menyebut namamu takkan pernah jemu..
Mengingatimu takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janjimu sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!

Cukup bagiku cintamu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang menyinariku..

Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta padamu..
Aku cinta pada takdirmu..
Aku cinta pada jalanmu..

Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah,dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..
Jihad cinta buatMu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingatiMu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman padaMu..

iLuvislam.com | Discover the Beauty of Islam

iLuvislam.com | Discover the Beauty of Islam